Monday, July 21, 2008

Pistorius Si Kudung

KOSMO! Jumaat 18 Julai 2008
Sukan m/s 54

Bergelar sebagai atlet kurang upaya yang kudung kedua kakinya adalah satu cabaran besar buat atlet kelahiran Africa Selatan yang dikenali sebagai Oscar Pistorius. Besar harapan pemuda ini yang amat berharap agar dapat beraksi di Sukan Olimpik di Beijing bersama atlet-atlet normal yang lain. Namun ia tidak kesampaian apabila gagal melepasi had kelayakan yang ditetapkan iaitu 45.55s. Saya amat kagum apabila kali pertama membaca keratan akhbar dan tidak lepas mengikuti perkembangan mengenai Pistorius walaupun beliau tidak berjaya melayakkan diri ke Olimpik Beijing yang kini hanya tinggal 18 hari. Atlet yang berusia 21 tahun itu, mencatat masa 46.25 saat sebagai catatan peribadinya yang terbaik untuk menepah tempat dalam acara 400m individu dan layak bertanding selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan membenarkannya.

Pada pandangan saya, dari sudut teknikal tidak dapat dinafikan bahawa Pistorius boleh membahayakan atlet normal. Atlet berjiwa besar ini cuba mencari peluang menyertai kuartet 4 x 400 di Switzerland selepas ini. Tetapi, gentian bilah karbon yang menggantikan kaki beliau boleh mengundang risiko sekiranya beliau mengambil bahagian dalam kuartet 4 x 400 meter jika berlaku asakan atau pertukaran baton. Dari sudut atlet normal dan kurang upaya juga, saya melihat keupayaan gentian bilah karbon yang menggantikan kaki Pistorius itu juga sedikit sebanyak memberi impak yang lebih buat beliau ketika berlari. Jadi ia adalah sesuatu yang tidak adil bagi atlet-atlet normal jika beliau terpilih kerana atlet normal menggunakan kudrat mereka sendiri untuk berlari. Gentian itu menjadi satu kelebihan buat Pistorius dan sekaligus mendatangkan bahaya kepada atlet-atlet lain dan terutamanya beliau sendiri. Kuartet Afrika Selatan sudah pun laayk tanpa Pistorius dan jika mereka membenarkan dia turut serta, pasti ada yang lain akan disingkirkan. Tetapi itu adalah keputusan mereka, bagi IAAF mereka yakin tidak memilih beliau atas dasar keselamatan.

Namun, apa yang begitu mengagumkan saya adalah, semangat beliau di dalam mengharungi pahit getir dan cabaran sebagai atlet kurang upaya untuk bertarung bersama atlet seperjuangan lain yang normal. Itu adalah satu sikap yang dipuji dan alangkah baiknya jika atlet-atlet normal di Malaysia mempunyai semangat dan jati diri yang begitu kuat seperti Oscar Pistorius. Bukan mudah untuk menjalani latihan sebagai atlet kurang upaya dan satu pujian buat beliau di atas usaha dan keringat mengharungi latihan sehingga beliau sekurang-kurangnya dapat bertanding di pusingan kelayakan bersama atlet-atlet normal yang lain. Lebih membanggakan, apabila beliau menempatkan diri di tempat ketiga dan catatan masa yang bagus. Bagi saya, itu sudah cukup membuktikan Pistorius mampu bersaing bersama atlet-atlet normal yang lain. Satu pencapaian yang memberansangkan buat diri beliau sendiri.
Oscar Pistorius adalah contoh yang terbaik buat atlet-atlet di Malaysia di dalam menanamkan semangat tidak berputus asa seperti beliau. Semangat beliau begitu kuat apetah lagi di dalam keadaan kurang upaya. Ini pula kita sebagai manusia yang normal yang begitu mengambil mudah sedangkan peluang berada di depan mata kita. Pengambilan dan penyalahgunaan dadah, rasuah di kalangan atlet tidak dapat membantu untuk meningkatkan mutu pencapaian atlet sekaligus mencemarkan sukan di Malaysia. Sejauh manakah ketahanan fizikal dan mental atlet Malaysia di dalam mengharungi cabaran di dalam memartabatkan sukan di Malaysia?Malaysia, jawapan di tangan anda.

No comments: